3.0
KONSEP IBADAH
3.1
DEFINISI IBADAH
Ibadah secara bahasa bermaksud tunduk
serta merendahkan diri. Menurut istilah atau syara’ pula, ibadah didefinisikan
sebagai tindakan diri sendiri dengan menurut kepada segala perkara yang
disyariatkan oleh Allah yang diseru oleh para Rasul, sama ada ia berbentuk
suruhan atau larangan.
Menurut Ibnu Taimiyyah, ibadah
adalah suatu istilah yang mencakup segala sesuatu yang dicintai Allah dan
diredhaiNya, baik berupa perkataan mahupun perbuatan yang tersembunyi (batin)
mahupun yang zahir (nampak). Maka, solat, zakat, puasa, haji, berkata jujur,
menunaikan amanah, berbakti kepada ibu bapa, menepati janji, berjihad melawan
orang-orang kafir dan munafik dan sebagainya adalah sebahagian daripada ibadah.
Oleh yang demikian, ibadah dalam Islam merangkumi segala kegiatan
manusia sama ada rohani dan jasmani. Orang Islam boleh mencampurkan urusan
akhirat dengan urusan dunia. Inilah kombinasi yang indah dalam Islam yang tidak
terdapat dalam agama-agama lain. Setiap umat Islam boleh melakukan ibadah tidak
kira waktu dan tempat walaupun dia sedang tidur kerana setiap apa yang
dilakukan adalah bergantung kepada niat kita sendiri adakah kita kaitkan cara
hidup ini dengan ibadah.
Orang yang memperhambakan dirinya (beribadah) kepada Allah akan
memperoleh banyak kelebihan. Orang-orang yang beriman yang sentiasa melakukan
ibadah akan memperoleh ketenangan hati dan hatinya sentiasa bergantung kepada
Tuhannya ketika susah atau senang. Firman Allah SWT:
إِنَّ
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ وَأَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ
وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ لَهُمۡ أَجۡرُهُمۡ عِندَ رَبِّهِمۡ وَلَا خَوۡفٌ
عَلَيۡهِمۡ وَلَا هُمۡ يَحۡزَنُونَ ٢٧٧
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, mengerjakan sembahyang serta memberikan zakat,
mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Dan tidak ada kebimbangan (dari
berlakunya sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan
berduka cita.
(al-Baqarah : 277 )
3.2
PEMBAHAGIAN IBADAH
Ibadah dalam Islam dibahagikan kepada
dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. Kedua-dua ibadah ini adalah sangat
penting bagi umat Islam bagi menjamin darjat dan tempat mereka di akhirat serta
menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam.
Ibadah khusus adalah ibadah yang diwajibkan oleh Allah SWT kepada setiap
umat Islam untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Ibadah yang diwajibkan oleh
Allah semuanya terkandung dalam rukun Islam seperti solat, zakat, menunaikan
haji bagi yang berkemampuan dan pelbagai ibadah khusus yang lain iaitu membaca
al-Quran dan zikirullah.
Ibadah khusus dapat dibahagikan kepada beberapa jenis. Terdapat ibadah
khusus yang berkaitan dengan kekhususan waktu dan tempat seperti menunaikan
haji iaitu hanya dilaksanakan pada bulan haji dan tempat-tempat yang tertentu
sahaja. Ada juga yang berkaitan dengan kekhususan tempat seperti solat
tahiyyatul masjid yang dilaksanakan di masjid sahaja.
Ibadah umum pula adalah segala perkara atau amalan selain daripada
kumpulan ibadah khusus di atas di mana ia dilakukan semata-mata hanyalah untuk
mendapat keredhaan Allah SWT. Ibadah ini merupakan sebahagian daripada fardhu
kifayah, termasuklah seluruh perbuatan manusia dalam kehidupan sehariannya.
Ibadah ini skopnya sangat luas merangkumi seluruh aktiviti manusia. Umat Islam
boleh melakukan pelbagai jenis ibadah umum selagi tidak ada dalil-dalil yang
mengharamkannya untuk dilaksanakan. Contohnya, solat sunat pada 1 Syawal di
mana diharamkan bagi umat Islam yang melakukannya kerana terdapat dalil yang
mengharamkan untuk berpuasa pada hari tersebut.
Zikir adalah termasuk dalam ibadah umum yang boleh dilakukan di mana-mana
sahaja selagi bentuk-bentuk dan cara pelaksanaannya tidak ada nas atau dalil yang
mengharamkannya. Sebagai contoh, ada dalil yang melarang zikir dengan lisan di
dalam tandas. Oleh itu perbuatan berzikir secara lisan adalah haram selama mana
dia berada di dalam tandas. Sebaliknya, jika terdapat dalil umum yang
mengharuskan sesuatu ibadah sunat itu dan tidak ada pula dalil pengharaman
dalam segala aspek, maka ibadah umum tersebut dibenarkan untuk diamalkan dalam
kehidupan.
3.3
SYARAT PENERIMAAN AMALAN MENJADI IBADAH
Segala pekerjaan dan amalan kita boleh
menjadi ibadah sekiranya memenuhi beberapa syarat penerimaan ibadah. Menurut
Yusuf Al-Qardhawi, beliau telah memberikan beberapa syarat supaya amalan seseorang itu
mendapat status ibadah.
Antara syarat tersebut ialah, amalan-amalan yang dikerjakan itu mestilah
bersesuaian dengan hukum Islam dan tidak bercanggah dengan hukum tersebut.
Terdapat amalan-amalan yang diingkari Islam seperti pekerjaan yang ada
hubungannya dengan riba, rasuah, perkara-perkara maksiat dan sebagainya
tidaklah menjadi sebahagian daripada ibadah. Allah bersifat bersih dan tidak
menerima amalan yang kotor kecuali yang baik dan bersih sahaja.
Seterusnya, amalan-amalan yang dilakukan hendaklah dengan niat yang baik
dan semata-mata kerana Allah SWT. Niat yang dianjurkan adalah seperti untuk
memelihara kehormatan diri atau menyenangkan keluarga atau memberi manfaat
kepada masyarakat atau untuk memakmurkan bumi Allah. Umat Islam hendaklah
meletakkan segala niat adalah semata-mata kerana Allah agar amalan kita itu
dikira sebagai beribadah kepada Allah SWT supaya dapat memperoleh keredhaan
Allah SWT. Firman Allah SWT:
قُلۡ
إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢
Maksudnya: Katakanlah: Sesungguhnya
sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang
memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.
(
al-An’am : 162 )
Seterusnya, ketika kita melakukan amalan-amalan tersebut, kita hendaklah
sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan ketentuan batasnya, tidak menzalimi
orang lain, tidak melakukan khianat, tidak menipu, tidak menindas orang lain
dan merampas hak-hak orang seperti mengambil wang milik syarikat untuk
disedekahkan kepada rumah anak-anak yatim. Kebajikan yang dilakukan adalah
sangat mulia namun sumber kebajikan itulah yang menyebabkan amalan tersebut
tidak diterima langsung oleh Allah SWT.
Syarat keempat amalan tersebut menjadi ibadah adalah umat Islam tidak
meninggalkan dan lalai dalam melakukan ibadah-ibadah khusus seperti solat,
zakat, dan sebagainya dengan melaksanakan ibadah-ibadah umum. Jangan pula
terlalu seronok melakukan amalan baik, sehingga lupa pada tuntutan yang wajib
dilaksanakan terlebih dahulu. Perkara ini akan menyebabkan ketidaksempurnaan
ibadah yang kita lakukan.
Di samping itu, natijah kerja yang dilakukan mesti disalurkan ke jalan
yang betul dan sesuai dengan syariat Islam. Sebagai contoh, seorang pelajar
yang menuntut ilmu, ilmu yang diperoleh itu sepatutnya tidak menjadikan
seseorang itu rosak akhlaknya seperti sombong, rasuah, menipu dan sebagainya.
Ilmu yang diperoleh semestinya memberi manfaat kepada diri, keluarga,
masyarakat dan Negara. Umat Islam yang menerima nikmat Allah baik berupa ilmu,
kesihatan, kekuatan sekalipun hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah SWT.
3.4
PERBEZAAN ANTARA IBADAH DAN ADAT
Masyarakat kini kurang memahami
perbezaan antara ibadah dan adat sehingga ada yang sewenang-wenangnya
memasukkan amalan ibadah dalam masalah adat dan menjadikan adat itu sebagai
perkara yang wajib dilakukan walaupun adat tersebut sangat bertentangan dengan
syariat Islam.
Umat Islam perlu memahami maksud sebenar ibadah dan adat. Ibadah ialah
tunduk kepada Allah SWT yang mengurniakan pelbagai nikmat kepada makhlukNya
manakala adat pula dalam bahasa Arab didefinisikan sebagai perkara yang menjadi
kebiasaan bagi orang ramai atau segolongan manusia.
Perkara yang membezakan ibadah dengan adat adalah niat seseorang itu
dalam melakukan sesuatu. Sebagai contoh, duduk beriktikaf di dalam masjid.
Seseorang itu akan mendapat pahala sekiranya berniat iktikaf ketika duduk di
dalam masjid sedangkan sesiapa yang tidak berniat iktikaf tidak akan mendapat
pahala iktikaf.
4.0
FALSAFAH DALAM IBADAH
Ibadah dalam Islam meliputi empat jenis
iaitu solat, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji.
Semua umat Islam diwajibkan untuk menunaikan ibadah-ibadah tersebut dengan
ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.
4.1
SOLAT
Solat ialah perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang
dimulai dengan takbir beserta niat dan diakhiri dengan salam dengan syarat-syarat
tertentu. Solat-solat yang difardhukan kepada umat Islam ada lima waktu iaitu
solat Subuh, Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak. Solat Subuh dikerjakan sebanyak
dua rakaat. Solat Zohor, Asar dan Isyak pula sebanyak empat rakaat manakala
solat Maghrib dikerjakan sebanyak tiga rakaat. Pada hari Jumaat, setiap
muslimin diwajibkan solat Jumaat bagi menggantikan solat Zohor yang dilakukan
pada hari-hari lain.
Selain sembahyang-sembahyang yang
difardhukan tersebut, terdapat solat yang diwajibkan atas fardhu kifayah kepada
umat Islam iaitu solat jenazah yang diwajibkan ke atas sebahagian orang muslim
sahaja. Allah SWT telah mewajibkan setiap manusia menunaikan solat di mana
banyak kelebihan bagi orang yang menjaga solat. Solat juga boleh mencegah kita
dari perbuatan yang mungkar seperti firman Allah SWT:
ٱتۡلُ
مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ
تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ
يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ ٤٥
Maksudnya: Bacalah serta ikutilah (wahai
Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah
sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang (dengan tekun) sesungguhnya
sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya
mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah)
Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
( al-Ankabut : 45 )
4.2
PUASA
Umat Islam diwajibkan berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Puasa ialah
menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula
dari terbit fajar sehingga terbenam matahari disertakan dengan niat. Namun,
dikecualikan berpuasa kepada seseorang atas beberapa faktor seperti mengalami
haid dan nifas serta diwajibkan ke atas mereka untuk menggantikan puasa
tersebut pada hari-hari yang tidak diharamkan berpuasa. Terdapat juga puasa
wajib yang lain iaitu puasa nazar dan puasa kifarah. Dalil diwajibkan berpuasa
adalah seperti firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ
مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ١٨٣
Maksudnya: Wahai orang-orang yang
beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang
dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.
(
al-Baqarah : 183 )
4.3
ZAKAT
Terdapat dua jenis zakat dalam Islam iaitu zakat fitrah dan zakat harta.
Zakat fitrah merupakan zakat yang diwajibkan ke atas setiap individu lelaki
atau perempuan muslim yang berkemampuan. Zakat harta pula terbahagi kepada
zakat perniagaan, saham, pendapatan ternakan, pertanian dan sebagainya. Zakat
harta boleh dibayar pada bila-bila masa di mana kadar pembayaran zakat harta
adalah 2.5% daripada harta kita. Kita diwajibkan membayar zakat harta kerana ia
merupakan salah satu jalan jihad kepada Allah dan membantu mereka yang
memerlukan. Zakat harta yang telah dibayar tersebut akan dibahagi kepada lapan
golongan asnaf termasuklah amil, muallaf dan fisabilillah.
4.4
HAJI
Menunaikan haji adalah rukun Islam yang kelima. Haji menurut syarak adalah mengunjungi
Baitullah di Mekah untuk beribadat kepada Allah SWT pada waktu tertentu serta
syarat-syarat tertentu dalam bulan Zulhijjah. Ibadah haji difardhukan ke atas
setiap umat Islam yang berkemampuan dan diwajibkan hanya sekali seumur hidup. Terdapat
beberapa perkara wajib dalam haji iaitu niat ihram di Miqat, bermalam di
Muzdalifah, melontar Jumrah 'Aqabah', bermalam di Mina selama dua atau tiga
malam Tasyriq iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah, melontar ketiga-tiga Jumrah
pada hari tasyriq dan meninggalkan perkara-perkara larangan semasa dalam ihram.
Kesimpulannya, ibadah dalam Islam mendidik kita dari pelbagai aspek sama
ada rohani, jasmani dan emosi. Kefardhuan ibadah merupakan salah satu anugerah
Allah kepada makhlukNya agar tidak melupakan pencipta yang telah memberi kita
pelbagai nikmat. Menunaikan ibadah juga adalah salah satu cara umat Islam untuk
mendekatkan diri dengan pencipta. Semoga umat Islam terus melaksanakan ibadah
dengan niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT untuk mencapai matlamat
hidup yang sebenar iaitu mendapat keredhaan Allah SWT.
5.0
SALAH FAHAM UMAT TERHADAP KONSEP IBADAH
SEBENAR
Segelintir umat Islam kini masih keliru
dan salah faham terhadap konsep ibadah yang sebenar. Hal ini demikian kerana
terdapat beberapa pengaruh atau budaya asing yang meresap masuk ke jiwa
orang-orang Islam. Pengaruh ini menyebabkan mereka terbiasa melakukan
amalan-amalan kebiasaan yang dianggap sebagai salah satu ajaran Islam sehingga
menjadi kewajipan bagi mereka melakukan perkara tersebut seperti bersanding
ketika dalam majlis perkahwinan. Jika majlis persandingan tersebut dibuat
secara tertutup dan dilakukan di hadapan keluarga sahaja, ia diharuskan. Ini
kerana ada di antara adat yang masih boleh dipulihkan mengikut acuan Islam atau
memenuhi tuntutan syarak.
Begitu juga dengan adat merenjis. Jika ia dilakukan dengan kepercayaan
untuk menghindarkan pasangan pengantin daripada nasib buruk atau gangguan
makhluk halus, ia tidak ubah seperti mengikuti adat masyarakat Hindu. Maka
hukumnya adalah diharamkan. Sabda
Rasulullah SAW, maksudnya:
"Sesiapa
yang menyerupai sesuatu kaum dia termasuk dalam golongan mereka" (Hadis
sahih riwayat Abu Dawud)
Selain itu, terdapat juga umat Islam yang menganggap ibadah hanya
tertumpu kepada ibadah khusus sahaja seperti solat, mengeluarkan zakat,
berpuasa dan menunaikan haji. Padahal ibadah dalam Islam merangkumi seluruh
aspek kehidupan. Ianya amat berbeza dengan agama lain kerana tidak terbatas
pada masa dan tempat-tempat tertentu sahaja.
Isu salah faham terhadap konsep ibadah ini meninggalkan kesan kepada
Islam. Ia juga memberi impak yang negatif kepada umat Islam hari ini. Apabila
berlaku salah faham dalam ibadah, maka manusia akan tersalah amal kerana
keduanya saling berkait rapat antara ilmu dan amal. Hal ini demkian kerana
apabila kita memperoleh ilmu yang diumpamakan sebagai imam, kita akan
mengamalkannya dan mengikutinya tanpa mengira ilmu itu adalah benar atau batil.
Pada hari ini, kemegahan Islam sudah tidak terserlah lagi di mata
manusia, yang nampak hanyalah nama Islam itu sendiri. Umat Islam seharusnya
sentiasa mencari jalan bagaimana untuk membangunkan Islam seterusnya berusaha
mencari ilmu agar dapat menemui keindahan Islam itu. Umat Islam juga akan
berasa indahnya Islam apabila sentisa kaitkan cara hidup kita ini dengan
beribadah kepada Allah SWT. Semua ini bergantung kepada niat seseorang yang
melakukan amalan-amalan baik di dunia ini sebagai beribadah kepada Allah atau
tidak.
Fakhruddin al-Razi pernah berkata:
“Ketahuilah
bahawa barangsiapa yang mengetahui faedah-faedah ibadah, nescaya lazatlah dia
beribadah, dan beratlah hatinya mahu melakukan perkara-perkara lain selain
ibadah”
Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa ruang lingkup ibadah dalam Islam
sangatlah luas dan tidak hanya tertumpu kepada ibadah-ibadah khusus sahaja. Ia
adalah seluas tempoh hayat seseorang muslim dan kesanggupan serta kekuatannya
untuk melakukan apa sahaja amalan yang diredhai oleh Allah SWT dalam tempoh
tersebut. Allah SWT tidak akan menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Semua
perkara di dunia ini sama ada baik atau buruk bagi kita, di dalamnya pasti ada
hikmah yang tersembunyi.
all is well :)