Isnin, 27 Jun 2016

KERAJAAN FATIMIYAH DAN PERMASALAHANNYA

KERAJAAN FATIMIYAH

Zaman pemerintahan kerajaan Fatimiyyah telah bermula pada 909 M oleh Ubaidillah al-Mahdi yang merupakan cucu kepada Ismail bin Jaafar al-Sadiq. Nama Fatimiyyah diambil sempena nama anak perempuan Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah binti Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutallib. Kerajaan ini dikuasai oleh golongan Syiah Ismailiah yang mempercayai Ismail adalah imam ketujuh selepas Imam Jaafar al-Sadiq. Pusat pemerintahan kerajaan Fatimiyyah terletak di Kaherah Mesir setelah berpindah dari pusat sebelumnya iaitu di Tunisia.
Kerajaan Fatimiyyah ini mengalami era kejatuhanannya pada tahun 1171 Masihi di bawah pemerintahan Khalifah al-Adid. Kejatuhan kerajaan ini adalah disebabkan oleh beberapa faktor permasalahan yang berlaku sejak zaman pemerintahan Khalifah al-Mustanshir yang merupakan khalifah ketujuh kerajaan Fatimiyyah.
Antara permasalahan yang berlaku dalam pemerintahan kerajaan Fatimiyyah adalah kelemahan pentadbiran khalifah. Kebanyakan khalifah yang dilantik adalah masih terlalu muda untuk memegang tampuk pemerintahan. Contohnya, Khalifah al-Hakim (996-1094 M) mula dilantik menjadi khalifah seawal usia 11 tahun. Kelemahan khalifah menyebabkan muncul orang-orang yang berpengaruh dalam pemerintahan sekaligus menundukkan khalifah. Perkara ini menyebabkan khalifah tidak dapat menjalankan tugas sehingga pemerintahan menjadi kurang stabil.
Kelemahan khalifah untuk mengawal negara juga membawa kepada beberapa peperangan antara jabatan tentera Fatimiyyah yang terdiri daripada tiga unsur kekuatan. Unsur yang pertama ialah tentera bangsa Barbar yang berjuang dalam kerajaan Fatimiyyah sejak awal pemerintahan. Kedua, unsur kekuatan bangsa Turki yang dibawa oleh Khalifah Al-Aziz dan bangsa Sudan yang dibawa oleh Khalifah Al-Mustanshir. Peperangan yang sering terjadi menyebabkan sistem ketenteraan dan pertahanan semakin lemah. Peperangan antara satu sama lain menyebabkan kuasa-kuasa luar mengambil kesempatan unutuk melakukan serangan. perkara ini akhirnya membawa kepada rampasan beberapa wilayah kerajaan Fatimiyyah oleh kuasa lain.
Selain itu, terdapat beberapa konflik dan perbalahan yang terjadi semasa pemerintahan Khalifah Al-Musta’la. Al-Musta’la telah dilantik menjadi khalifah pada tahun 1904 Masihi bagi menggantikan ayahnya, Khalifah Al-Mustanshir yang telah meninggal dunia. Pelantikan tersebut menimbulkan perasaan cemburu dan kecewa abang Al-Musta’la, Nizar yang berasa dirinya lebih layak untuk menjadi khalifah. Oleh itu, beliau telah membentuk satu gerakan pembunuh upahan bagi menentang Khalifah Al-Musta’la. Gerakan ini dipimpin oleh Al-Hasan bin Al-Sabah yang akhirnya membawa kepada pembunuhan dua orang khalifah iaitu Khalifah Al-Musta’la dan Khalifah Al-Amir. Namun begitu, Nizar tetap tidak dapat memegang takhta sebagai khalifah kerajaan Fatimiyyah pada ketika itu.
            Di samping itu, daerah Mesir semasa pemerintahan kerajaan Fatimiyyah juga terlibat dengan bencana alam. Rakyat Mesir hidup dalam kelaparan kerana hasil pertanian seperti gandum, kurma, bawang dan sebagainya telah musnah. Pelbagai wabak penyakit juga tersebar yang menyebabkan pedagang-pedagang dari luar tidak mahu berniaga dan membeli barangan dari Mesir. Hal ini menyebabkan ekonomi kerajaan Fatimiyyah semakin merosot.

            Setelah mengalami zaman kemerosotan dan kemunduran, kerajaan Fatimiyyah mendapat serangan dari luar. Kelemahan sistem pemerintahan dan pertahanan menyebabkan beberapa daerah kerajaan Fatimiyyah berjaya ditawan oleh pihak musuh. Pada tahun 1171 Masihi semasa berada di bawah pemerintahan Khalifah Al-Adid, wilayah terakhir kerajaan Fatimiyyah jatuh ke tangan tentera Salahudin Al-Ayubi. Mesir akhirnya berada di bawah kepimpinan kerajaan Islam Aiyubiah yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

2 ulasan:

  1. Balasan
    1. Mantap saudaraku semoga bermanfaat jadi oendakwah islam yang mndirikan agama Allah di dunia 😘😍

      Padam